Menguruskan sesebuah organisasi adalah satu tanggungjawab yang memerlukan kerjasama dari semua pihak. Dari atasan sehingga bawahan, kerjasama antara setiap individu amat penting dalam memastikan perjalanan organisasi lancar.

SEJARAH PKPI
Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Insan YPJ (PKPI) yang dahulunya dikenali Johor Outward Bound School (OBS) Mersing diilhamkan penubuhannya oleh Menteri Besar Johor ke 11, Tan Sri Haji Othman Saat pada 1974 hasil daripada kursus intensif ala ketenteraan untuk golongan peneroka yang dianjurkan kerajaan negeri ketika itu. Semangat tinggi yang dipamerkan peserta kursus tersebut telah mencetuskan idea kepada Tan Sri Othman untuk menubuhkan sebuah pusat latihan di mana para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri boleh diberi latihan yang serupa. Akhirnya sebuah kawasan seluas 49.7 hektar (123 ekar) yang terletak di muara Sungai Jemaluang dan Hutan Simpan Jemaluang, Sekakap, Mersing dipilih bagi pembinaan kem ini. Enam puluh ekar atau 24.2 hektar daripada keseluruhan kawasan dibangunkan dengan pelbagai prasarana manakala bakinya dibiarkan sebagai hutan bagi tujuan latihan. Ia meliputi bangunan pejabat, sebuah dewan ceramah, sebuah bangunan menempatkan dapur, dewan makan, bilik rehat dan kantin, dua buah asrama serta sebuah chalet VIP.

Pusat latihan ‘outdoor’ yang menyediakan program pembangunan kualiti diri dan organisasi terbuka untuk semua peringkat meliputi staf kerajaan, swasta, NGO, belia dan pelajar.
Selain itu keunikan elemen semulajadi yang dimilikinya iaitu hutan, laut dan sungai dapat memberikan peserta merasai pengalaman mencabar dan menarik ketika menjalani latihan.

Kawasan yang dipilih Tan Sri Othman ini ibarat satu pakej yang lengkap bagi menjalankan latihan pembinaan disiplin, keberanian dan ketabahan mental kerana ia meliputi elemen pantai, hutan dan sungai yang jarang dimiliki lain-lain pusat latihan ketika itu. Pusat Membina Semangat Johor (Mersing) bukan sekadar menghadap panorama indah Laut China Selatan malah empat buah pulau terkenal iaitu Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Hujung dan Pulau Rawa. Hutan Simpan Jemaluang di mana kem ini didirikan kaya dengan pelbagai tumbuhan hutan bernilai tinggi seperti Pokok Serdang, Pokok Retak Bukit, Durian Hutan, Seminyak Bukit, Pokok Damar, Ubi Jagar, Pokok Geronggang, Bitanggor, Sumpah Biawak, Tongkat Ali dan sebagainya. Selain tumbuhan hutan, Hutan Simpan Jamaluang juga menjadi kediaman kepada pelbagai hidupan liar sehingga hari ini antaranya gajah, beruang, pelandok, kancil, monyet, ayam hutan, tenuk, babi hutan selain pelbagai spesis burung termasuk Enggang manakala Sungai Jemaluang pula menjadi habitat buaya. Pada 2 November 1974 , Pusat Membina Semangat Mersing mula menjalankan kursus pertamanya melibatkan 29 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Tadbir Negeri Johor (Johor Civil Service) dan pegawai persekutuan yang berkhidmat di Negeri Johor.